Novel ini berkisar tentang kehadiran Pak Tua yang tinggal di sebuah pondok di Bukit Bintangor di Kampung Alor Rambai. Gaya hidupnya yang lebih suka menyendiri dan tidak bergaul dengan penduduk kampung menyebabkan dia disisihkan.
Orang kampung menganggap Pak Tua nyanyuk dan gila kerana sanggup tinggal di tengah hutan di atas Bukit Bintangor. Ada juga penduduk kampung yang melemparkan fitnah terhadapnya setelah melihat beberapa orang lelaki asing bertemu dengannya. Tambahan pula, lelaki-lelaki itu berpakaian kemas dan menaiki kereta mewah.
Perhubungan Zahiran dengan Pak Tua telah menyebabkan orang kampung mulai membuka mata terhadap kehadiran Pak Tua . Malah, tanggapan negatif orang kampung terhadap Pak Tua juga berubah. Minat Zahiran terhadap keindahan alam semula jadi mula bercambah. Zahiran semakin berminat untuk mengetahui ilmu tentang tumbuh-tumbuhan setelah mendapat dorongan daripada Pak Tua.
Penduduk kampung turut kagum akan ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya serta usaha-usaha yang telah berjaya dilaksanakannya. Mereka tertanya-tanya akan diri sebenar Pak Tua yang banyak mempunyai kebolehan itu.
Kehadiran Cikgu Idham sebagai Pengetua baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai turut membantu perubahan dan kemajuan kepada penduduk Kampung Alor Rambai. Cikgu Idham banyak bekerjasama dengan Pak Tua untuk membantu penduduk kampung.
Perkara yang menjadi punca Pak Tua mengambilkeputusan untuk mengasingkan diri di tengah hutan di Bukit Bintangor adalah kerana dia berasa sangat sedih atas kematian isterinya. Isteri Pak Tua yang bernama Kamariah meninggal dunia sebagai akibat dijangkiti virus HIV. Terdahulu, dua anak perempuannya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di kota Chicago, Amerika. Pak Tua amat kecewa kerana penawar daripada ekstrak pokok bintangor yang berjaya diperolehi melalui kajian yang dijalankan bersama dengan kumpulan penyelidiknya itu tidak sempat dinikmati oleh isterinya. Oleh sebab itu, dia telah menanam pokok bintangor dengan banyaknya di atas bukit itu supaya pokok tersebut yang merupakan sumber penawar kepada penyakit AIDS tidak akan pupus.
Sudah lebih tiga tahun Pak Tua meninggal dunia. Suatu hari, penduduk kampung Alor Rambai gempar apabila mengetahui bahawa Pak Tua sebenarnya ialah pesara pakar penyelidik sintesis organik. Nama sebenar Pak Tua ialah Profesor Isman Yunus. Pak Tua telah mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.
Zahiran pula akan melanjutkan pelajarannya di Kolej Matrikulasi Melaka di Londang setelah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Zahiran bercita-cita menjadi seorang ahli sains seperti Pak Tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan