12 Jun 2012

Latihan Ringkasan 4


Kesan-kesan pengambilan minuman beralkohol

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan pengambilan minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan
Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula yang tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan kesihatan si peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman keras. Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada fizikal bayi serta menjejaskan kesihatannya. Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi serta hilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula ketagihan minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-porandakan sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.
Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak dapat memberikan tumpuan semasa memandu. Perbuatan mereka ini melanggar undang-undang jalan raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Akibatnya, kemalangan mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh sebab minuman beralkohol ini sangat berbahaya, sepatutnya kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedarannya di seluruh negara. Jika tindakan ini segera dilaksanakan sudah tentu rakyat dapat menjimatkan wang. Tindakan tersebut juga dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia juga hidup dengan sihat dan produktif kerana bebas daripada alkohol.  Seterusnya, masalah sosial yang berkait rapat dengan minuman keras ini juga dapat diatasi.
Bahagian A (ii): Pemahaman (10 markah)
  1. Berikan maksud hilang keupayaan berfikir dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah kebaikan-kebaikannya jika kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedaran arak di seluruh negara? [4 markah]
  3. Masih ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun mereka mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pada pandangan anda mengapakah keadaan ini berlaku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan