4 Jun 2012

Contoh Karangan : Isu Sosial

Huraikan punca-punca remaja lari dari rumah.



Kemelut remaja lari dari rumah telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan. Keadaan ini jelas terpapar menerusi siaran media massa yang menjadi isu ini berita utama mereka. Pelbagai pihak memberikan teori atau pandangan mereka mengenai kemunculan kemelut ini dalam masyarakat kita.
Punca yang paling ketara ialah tekanan ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah sering menggunakan alasan tekanan ibu bapa sebagai penyebab utama mereka melakukan perbuatan terkutuk ini. Tekanan ib bapa ini dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa untuk memahami keperluan peribadi remaja yang begitu mendesak kini. Ibu bapa sering menyalahkan anak atau tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada remaja. Jadi, kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka menjadi pendorong utama remaja melarikan diri.

Selain itu, remaja lari dari rumah dikatakan berkait rapat dengan pengaruh rakan sebaya. Nasihat yang diberikan oeh rakan sebaya tidak matang dan rasional apabila remaja meluahkan masalah mereka. Keadaan ini berlaku kerana rakan sebaya itu sendiri belum cukup matang dan berpengalaman dalam menangani arus kehidupan yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, rakan sebaya yang memberikan nasihat yang tidak baik akan membawa remaja itu mengambil tindakan untuk melarikan diri.

Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka.

Kemelut ini turut dikaitkan dengan sahsiah remaja itu sendiri. Ramai remaja yang tidak mempunyai sikap yang tabah dan positif apabila menghadapi sesuatu kemelut yang melanda diri mereka. Remaja begitu mudah terasa atau berasa sensitif apabila ditegur oleh ibu bapa sehingga sanggup melarikan diri. Jelaslah, keadaan ini membuktikan bahawa masalah ini turut ditentukan oleh sikap remaja zaman ini yang harus lebih kukuh dan tabah.

Kesimpulannya, gejala remaj lari dari rumah ini memang harus ditangani dengan segera demi masa depan remaja kita yang semakin malap ditelan arus kemodenan dunia. Semua pihak terutama masyarakat harus memainan peranan tersendiri dalam menangani kemelut ini. Mungkin kita semua harus menyalahkan diri masing-masing sebelum kita menyalahkan remaja dalam hal ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan