12 Jun 2012

Latihan Ringkasan 2


Punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasantentang punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Penyakit atau masalah sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa. Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat kesibukan dan keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.
   Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif tersebut akibat daripada pergaulan bebas  dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa memberi wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang. Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Remaja yang bergaul dengan rakan yang bersikap negatif juga akan turut bersikap negatif. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh. 



Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional. Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik. Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.
Bahagian A (ii) Pemahaman
  1. Berikan maksud  tidak mahu mengambil tahu dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, sebagai pelajar dan juga remaja apakah yang patut golongan remaja lakukan untuk mengatasi gejala sosial ini?  [4markah]

1 ulasan: