Iman Zulaikha merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Setelah bapa dan ibunya bercerai, Iman berpindah dan tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman menyimpan cita-cita yang tinggi agar dia dapat menyatukan semula ibu dan bapanya. Iman dan Pei Wen merupakan pasangan sahabat yang rapat sama ada di sekolah atau di rumah. Kedua-duanya sering mencurah rasa dan sama-sama berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Setiap hari apabila sampai di rumah, Iman akan membaca dan menghantar e-mail kepada ibunya yang berada di New Zealand.
Di sekolah, Iman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan sering dikagumi oleh pelajar-pelajar yang lain. Namun, Linda sering menimbulkan masalah dan tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Kehadiran pelajar baharu, iaitu Adif Danial ke sekolah mereka menambah lagi rakan Iman termasuk Zulkarnain. Pernah pada suatu ketika Linda menolak Iman sehingga terjatuh dari tangga gara-gara Iman tidak mahu menarik diri daripada pertandingan pidato yang mereka sertai. Berkat kegigihan dan ketabahannya berlatih, Iman berjaya menjadi juara dan bakal mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato peringkat daerah.
Kehadiran ayahnya secara tiba-tiba pada suatu hari mengganggu ketenangan Iman. Ayahnya memberitahu bahawa dia ingin berkahwin dengan Puan Sofia, ibu Adif Danial. Ketika berjumpa Yusri di sekolah, Adif Danial terkejut dan menyedari bahawa Yusri ialah bapa Iman. Hal ini menyebabkan Adif Danial memberontak dan menjauhkan diri daripada Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tetapi merapatkan diri dengan Linda.
Oleh sebab kedua-dua anak mereka tidak bersetuju, Yusri dan Puan Sofia tidak jadi berkahwin. Iman kembali mesra dengan ayahnya. Iman menjadi juara pidato di peringkat daerah. Pertandingan ini turut disaksikan oleh ayahnya. Kejahatan Linda terbukti apabila dia ditangkap kerana mencuri diari dan teks pidato Linda. Namun, Iman memaafkan Linda.
Berita gembira disampaikan oleh ayah Iman. Ayahnya mengajak Iman, datuk dan neneknya pergi ke New Zealand untuk bertemu dengan ibunya. Hal ini amat menggembirakan Iman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan