14 Jun 2012

Sinopsis Novel Tingkatan 2 : Di Sebalik Wajah


Cerita Di Sebalik Wajah mengisahkan seorang remaja iaitu Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar. Nama Doktor Fikri diberikan oleh bapanya sempena nama seorang doktor yang telah mendoakan keselamatan ibunya sewaktu melahirkannya. Disebabkan nama dan kecacatan kulitnya yang balar Doktor Fikri sering diejek dan diketawakan. Namun begitu, dia tabah menerima segala dugaan yang menimpa dirinya. Pertukaran ke sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya. Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz dapat menerima kehadirannya di sekolah itu. Mereka berkawan baik sehinggalah Doktor Fikri dianiaya oleh tiga orang murid iaitu Narius, Jais dan Jamadi yang juga sering mengganggu murid lain.
 
Satu laporan salah laku mereka telah dibuat kepada guru disiplin iaitu Cikgu Wahab. Hal ini menyebabkan mereka berdendam kepada Doktor Fikri. Narius dan kawan-kawannya meletakkan buku-buku perpustakaan dan beberapa dompet ke dalam beg sekolah Doktor Fikri. Guru disiplin telah membuat pemeriksaan mengejut ke setiap kelas. Doktor Fikri telah dipanggil dan disoal siasat namun dia hanya mendiamkan diri. Selepas kejadian tersebut, kawan-kawannya mula menjauhkan diri kecuali Josy yang masih setia memberikan perangsang dan semangat serta memintanya bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Semasa sukan tahunan sekolah, Doktor Fikri gagal menamatkan larian 1500 meter dan pengsan. Dia juga kehilangan basikal yang baru dibeli dengan duit simpanannya sendiri. Pada suatu hari seorang murid mengadu kepada Cikgu Wahab bahawa dia ternampak Narius dan rakan-rakannya mencuri basikal doktor Fikri. Hal ini dilaporkan ke balai polis. Narius dan rakan-rakannya ditangkap atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Mereka ditahan di lokap. Jais dan Jamadi dijamin oleh keluarga masing-masing. Narius tidak dapat dibebaskan kerana keluarganya miskin. Doktor Fikri dan bapanya dipanggil untuk mengambil semula basikalnya. Semasa di balai polis, Doktor Fikri ternampak Narius sedang menangis di samping bapanya yang sudah uzur. Doktor Fikri meminta ayahnya menjamin Narius.

Semenjak hari itu, Narius, Jais dan Jamadi insaf dan berubah menjadi baik. Mereka mengaku kepada murid lain bahawa merekalah yang menganiaya Doktor Fikri. Namun, pada masa yang sama, Doktor Fikri berhijrah ke Jepun kerana bapanya bertugas di sana. Setelah setahun, Doktor Fikri dan keluarganya balik bercuti di Malaysia. Kepulangan Doktor Fikri disambut dengan gembira oleh rakan-rakannya. Keluarga Doktor Fikri mengisi cuti mereka dengan bersama-sama mendaki puncak Gunung Kinabalu seperti yang dihasratkan oleh Doktor Fikri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan