12 Jun 2012

Latihan Ringkasan 3


Langkah-langkah untuk menggalakkan kitar semula

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak. Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat.
Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain seperti pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula. Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar semula. Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar semula sebagai asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga menjimatkan penggunaan bahan mentah.
Bahagian A(ii): Pemahaman
  1. Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah]
  2. Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]
  3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan