Memaparkan catatan dengan label Bahagian A. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahagian A. Papar semua catatan

12 Jun 2012

Latihan Ringkasan 5


Kelebihan bayi yang menyusu susu ibu

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kelebihan bayi yang menyusu susu ibu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah yang paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi sebagai minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi. Oleh itu, menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk tumbesaran anak-anak. Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung. Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu tepung dengan botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting botol susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak seimbang. Ada juga sesetengah bayi yang alergi kepada susu lembu tepung sehingga boleh menimbulkan masalah kesihatan, perkembangan terbantut dan alahan berbanding dengan kandungan susu ibu yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.

Latihan Ringkasan 4


Kesan-kesan pengambilan minuman beralkohol

Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan pengambilan minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan
Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula yang tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan kesihatan si peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman keras. Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada fizikal bayi serta menjejaskan kesihatannya. Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi serta hilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula ketagihan minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-porandakan sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.

Latihan Ringkasan 3


Langkah-langkah untuk menggalakkan kitar semula

Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak. Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat.

Latihan Ringkasan 2


Punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasantentang punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Penyakit atau masalah sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa. Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat kesibukan dan keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati.
   Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif tersebut akibat daripada pergaulan bebas  dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa memberi wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang. Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Remaja yang bergaul dengan rakan yang bersikap negatif juga akan turut bersikap negatif. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh. 

Latihan Ringkasan 1


Punca-punca Tekanan Dalam Kehidupan

Baca petikan tersebut dengan teliti. Kemudian tulis satu ringkasan mengenai punca-punca tekanan dalam kehidupan. Panjang ringkasan anda tidak lebih 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal.

Penduduk dunia semakin tertekan! Perkara ini bukan lagi satu persoalan benar atau tidak tetapi lebih kepada perbandingan berapa teruk tahap tekanan atau stres yang dihadapi rakyat sesebuah negara. Tekanan di rumah, di tempat kerja, dan bermacam bentuk tekanan lain dilihat semakin bertambah di kala mencapai kemajuan dan kemodenan.
Agak mustahil bagi seseorang itu hidup tidak menghadapi tekanan kerana semua perkara dalam hidup seharian meninggalkan sedikit kesan kepada kemampuan menyesuaikan diri dengan bermacam keadaan yang dihadapi. Ketegangan jelas kelihatan di seluruh dunia kini akibat bermacam punca, dari bencana alam, peperangan sehinggalah kepada kos makanan.
Dunia menghadapi perubahan mendadak cuaca, terlalu panas atau terlalu sejuk, yang turut membawa bermacam bencana alam.Tidak cukup dengan perkara semula jadi, perbuatan manusia menambahkan lagi bebanan dengan bermacam krisis dan skandal. Pencemaran, krisis bekalan makanan, naik turun harga minyak dan keperluan asas (air, elektrik), harga barang melambung, skandal pencemaran produk makanan, krisis ekonomi dan kini peningkatan pengangguran.